Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.
26 Jun 2009

Isu Dalam Tamadun Islam dan Pencerahannya

Oleh Mohd Zaidi Abdullah.
Penulis merupakan pengasas-Felo Pusat Ulum Pondok Dan Pencerahan Tamadun, Shah Alam.



Pada tahun 1798 (1213H), umat Islam dikejutkan dengan penguasaan Perancis (yang disertai tentera dan pakar falsafah sains dan teknologi) di Mesir. Penguasaan ini menyebabkan para ulama di al-Azhar pada ketika itu memperkukuhkan semula ilmu-ilmu Islam yang diajar serta merespon isu-isu semasa dalam ilmu pengetahuan setelah muzakarah dengan ilmuwan Perancis.

Syeikhul Azhar Abdullah al-Syarqawi (w.1227/1812) dan Syeikh Abdul Rahman al-Jabarti (w.1241/1825) antara ulama’ yang segera melibatkan diri dalam menangani isu-isu ini. Manakala Hasan al-‘Attar (w. 1250H) menggunakan pendekatan alternatif yang menjunjung kesatuan dan kesepaduan ilmu. Pendekatan beliau, berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. “Aku diutuskan dengan bentuk ‘kata yang ringkas tetapi padat makna’ (jawami‘ kalim).”

Hadith ini menyifatkan makna wahyu itu padat dan luas bukan hanya memadai bidang ilmu tertentu sahaja. Ia sudah tentu melibatkan semua bidang ilmu Islam. Dengan kata yang tegas, kecenderungan kajian ilmu yang tidak bersepadu masih tidak menepati pengajian Islam tulen.

Bagi merealisasikan kesatuan dan kesepaduan ilmu, Syeikhul Azhar Hasan al-‘Attar turut menangani isu-isu semasa seperti terakam dalam kitabnya pada tahun beliau dilantik menjadi Syeikhul Azhar, Hasyiah ‘ala Jam‘ al-Jawami‘ (selesai tulis 1246H), menyebut bahawa buku-buku sarjana Eropah telah diterjemah ke bahasa Arab dan Turki dengan giat dan teliti. Pengetahuan baru ini telah disaring supaya sesuai dengan ruh ajaran Islam.

Seiring dengan perkembangan ini, Hasan al-‘Attar dan Hasan al-Quwaisni (kemudiannya juga menjadi Syeikhul Azhar pada 1250) berjaya membimbing seorang imam, Rifa‘ah Rafi‘ al-Tahtawi. Kemudian imam itu diminta mengetui rombongan keilmuan ke Perancis. Sepanjang pengajian mereka di Perancis, imam ini telah mengabadikan pengalamannya melalui bukunya yang terkenal iaitu Takhlis al-Ibriz. Kitab ini telah diberi kata aluan oleh gurunya, Hasan al-‘Attar.

Walau bagaimanapun, al-Tahtawi masih tidak terpesona dengan ilmu-ilmu diperolehnya di Perancis secara taqlid buta. Dalam karya-karyanya, jelas sekali beliau telah menyaring ilmu-ilmu tersebut supaya sesuai dengan ajaran Islam. Buktinya, bagi al-Tahtawi sendiri, bermazhab atau pemikiran ulama’ silam tidak dikritik jika bertaraf ijmak tetapi soal furu’ yang diperselisih di kalangan ulama masih boleh dibahas semula.

Keadaan ini agak berbeza dengan Sheikh Muhammad Abduh yang muncul kemudiannya dengan melaungkan reformasi yang menyeluruh kononnya atas kebebasan berfikir lalu mengakibatkan perpecahan umat. Kami meneliti buku-buku yang pro dan kontra, didapati perpecahan tersebut tidak mampu diubati. Sikap Muhammad Abduh itu sebenarnya memudahkan penjajahan Barat berlaku dengan cepat.

Selain berlaku di Mesir, di Semenanjung Tanah Arab juga berlaku satu konflik agama. Lebih mendukacitakan, di saat kelemahan umat, berlaku sesuatu yang dilarang Nabi Muhammad s.a.w. yakni peperangan sesama sendiri. Peperangan ini berlaku atas nama agama di Semenanjung Tanah Arab pada 1217/1803. Peperangan ini berpunca dari ketidaksetujuan Syeikh Muhammad Abdul Wahhab terhadap umat Islam di Makkah dalam mengamalkan agama.

Sebenarnya, Syeikh Muhammad Abdul Wahhab bersama rakan-rakannya turun gelanggang mendebatkan isu ini dengan para ulama’ Makkah kira-kira pada tahun 1146/1733. Tetapi, apabila berdebat jelas beliau bersama delegasi dikalahkan oleh ulama’ Makkah. Hal ini menunjukkan apa yang dikemukakan oleh beliau itu tidak mempunyai bukti, lalu para ulama Makkah menolak seruan beliau.

Inilah cerita sebenar yang jarang disentuh oleh mana-mana penulis apabila berbicara tentang Wahhabiyyah. Fakta ini bagaikan disembunyikan dari pengetahuan umum. Harus diingat, ulama’ yang ada di Makkah pada masa itu yang turut sama menolak seruan Syeikh Muhammad Abdul Wahhab ialah juga gurunya.

Sifat buruk sangka dan ammarah ini masih tidak terpadam sekalipun beliau telah kalah dalam berhujah. Oleh sebab itu, pada 1157/1744, Syeikh Muhammad Abdul Wahhab berusaha menggabungkan dirinya dengan tentera Muhammad b. Saud. Pada tahun 1159/1746, dengan dakwaan bahawa ramai umat Islam yang sesat, maka beliau mengisytiharkan jihad menyerang Makkah. Inilah doktrin dogma-politik yang diasaskan oleh beliau.

Namun, beliau tidak sempat menikmati kemenangan kerana beliau telah wafat pada 1180/1766. Hanya abad berikutnya, golongan Wahhabi berjaya menguasai Makkah pada 1217/1802. Pada 1220/1805, golongan ini berjaya menguasai Madinah pula. Lepas itu, Kerajaan Uthmaniyyah telah mengirim tentera di bawah pimpinan Muhammad Ali Basya ke Makkah. Dalam misi ini beliau berjaya membebaskan Makkah dan Madinah daripada genggaman doktrin dan politik Saudiyyah-Wahhabiyyah.

Dalam al-Rihlah al-Hijaziyyah, Muhammad Labib al-Batanuni menyatakan bahawa golongan Wahhabi merupakan puak pelampau yang melebihi had mazhab Hanbali sendiri. Kenyataan dalam buku ini disokong oleh Syeikhul Azhar Salim al-Bisyri (1867-1917).

Dalam Sejarah Sosial Keagamaan Tanah Suci, Dr. Badri Yatim ada memetik dari kitab ini tetapi jelas berbeza dengan teks asal. Petikan itu ternyata boleh mengelirukan pembaca. Dalam Jaringan Ulama, Prof. Azyumardi Azra mengkaji teks-teks berdasarkan kedua-dua belah pihak. Jelas, hasil kajian beliau mendapati cara dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab keras dan tidak seperti yang diajarkan oleh para gurunya yang memang merupakan nadi ilmu-ilmu Islam pada zamannya.

Gurunya, Muhammad Sulaiman al-Kurdi memang telah mengagak semasa Muhammad Abdul Wahhab menjadi muridnya lagi bahawa muridnya ini akan memecahbelahkan umat Islam. Sehubungan dengan ini juga, gerakan ini memang tidak menghormati pendapat dari kalangan ulama lain. Semasa gerakan Wahhabi ini muncul, ramai ulama mengkritik mereka, antaranya ialah ulama yang terkenal dalam mazhab Hanafi iaitu Ibnu Abidin (1198-1252). Dalam Radd al-Mukhtar, Ibnu Abidin mengatakan bahawa golongan Wahhabi ini sebagai penderhaka (bughah) kerana melakukan pemberontakan terhadap pemerintahan Uthmaniyyah. Kritik terhadap mereka dapat juga diketahui dalam tulisan Sheikh Abdul Wahhab b. Ahmad Barakat al-Shafii al-Azhari al-Tandatawi berjudul Kitab Rad’ al-Dalalah wa Qam’ Jahalah beserta dengan sokongan mufti dan ulama Makkah.

Ternyata tindakan golongan Wahhabi ini tidak menepati sunnah Rasulullah s.a.w. kerana Nabi Muhammad s.a.w. melarang berperang sesama sendiri. Para cendekiawan Islam kini memartabatkan Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai mujaddid sedangkan tokoh hadith terkenal, al-Allamah Abu al-Tayyib Muhammad Syamsul Haqq al-Azhimabadi dalam ‘Aun Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, yang agak pro-salafi sendiri tidak memartabatkan beliau sebagai mujaddid. Golongan Muhammad bin Abdul Wahhab sering abaikan fakta ini.

Peperangan yang berterusan ini melemahkan lagi pemerintahan Uthmaniyyah yang sudah sedia tenat akibat serangan negara-negara Barat yang cuba memecahbelahkan kesatuan umat Islam serta kebangkitan non-muslim dalam wilayah. Sepatutnya dalam hal ini, lebih baik orang-orang Wahhabi pada ketika itu menolong Uthmaniyyah dalam berdepan dengan negara kuffar yang jelas kuffar.

Bayangkan tatkala Uthmaniyyah sibuk berperang untuk mempertahankan wilayah Islam, golongan Wahhabi ambil kesempatan untuk menang mudah. Mereka mengatakan bahawa Uthmaniyyah tidak islamik pada masa itu kerana terpengaruh dengan pandangan Barat. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. berpesan, “taatilah pemimpin kamu sekalipun dia fajir (buruk perangai-fasiq)”. Barat memang hendak merosakkan nama baik umat Islam pada zaman itu sekaligus menjajah semua umat Islam. Memang jelas akhirnya, umat Islam dijajah secara keseluruhan.

Dua krisis ini sebenarnya berubah menjadi isu keagamaan di Mesir dan Hijaz. Kami menilainya dengan menggunakan konsep jawami’ kalim wahyu yakni memahami kekayaan makna dari ungkapan yang ringkas. Timbunan makna daripada wahyu yang ditulis oleh ulama yang mendahului mereka tidak wajar diketepikan oleh generasi kemudian. Kekayaan makna dalam sejarah pemikiran Islam akan membuatkan kita tawadu’ potensi kita sendiri serta tidak tergesa-gesa dalam pengkritikan.

Merujuk kepada isu yang berlaku di Mesir, adalah tidak salah bagi umat Islam mempelajari ilmu-ilmu orang non-muslim kerana yang elok dan baik tentu ada manfaatnya kepada kita. Al-Imam al-Syafii sendiri turut memahami ilmu-ilmu yang ditulis oleh Aristotle, Galen, dan ahli-ahli fikir Barat, ahli fikir India, dan Parsi. Dalam hal ini Imam Syafii turut berpesan kepada muridnya, “Belajarlah kamu walaupun di negeri China” (lihat al-Hafiz al-Baihaqi, Manaqib al-Syafiei).

Teladan yang ditunjukkan oleh Imam Syafii, bahawa warisan Yunani dan apa jua ilmu orang lain boleh dipelajari, yang baik perlu diterima diterima manakala yang salah perlu diketepikan. Inilah selalu diungkapkan oleh guru penulis, Tuan Guru Hj. Abdullah Lubok Tapah.

Maklumat mengenai Imam Syafii tidak dipaparkan oleh golongan yang kononnya mengakui “salafi” kini. Boleh dikatakan mereka ini menyembunyikan fakta sebenar. Sebaliknya, mereka memfatwakan bahawa haram atau bid’ah mempelajari falsafah atau mantiq. Padahal para ulama’ empat mazhab hanya menghukumkan sebagai salah apabila pengajian tersebut jika mereka mengabaikan ilmu-ilmu Islam yang lain.

Kita percaya mungkin Ibnu Salah menghukumkan bahawa ilmu Mantiq haram dipelajari kerana berlaku pada zamannya pengabaian terhadap ilmu-ilmu Islam lain. Atau, boleh jadi mereka mempelajari falsafah dan mantiq tanpa upaya penyaringan antara yang benar dan salah. Tentu tidak diterima akal bahawa Ibnu Salah tidak mengetahui apa yang disebut oleh Imam Syafii sedangkan beliau merupakan perawi mazhab Syafii.

Maklumat begini amat jarang diambil berat oleh penyelidik yang kononnya berpegang kepada salafi. Hakikatnya golongan itu tidak menjadikan isnad-isnad sebagai asas penyelidikan mereka. Padahal para ulama’ tiga kurun pertama 300 Hijrah, mementingkan isnad sebagai sebahagian daripada ilmu Islam.

Sebagai bukti, seorang tokoh terkenal dalam mazhab Hanbali iaitu Syeikh Ibnu Qudamah al-Maqdisi dalam Raudah al-Nazhir memasukkan mantiq dalam bahagian awal kitab tersebut. Pendekatannya menyerupai kitab al-Mustasfa karya Hujjatul Islam al-Ghazali. Tetapi, orang yang mengaku salafi seperti Ibnu Taymiyyah hanya mengkritik Hujjatul Islam al-Ghazali tanpa menyebutkan Ibnu Qudamah yang juga bermazhab seperti mereka. Jelas di sini, mereka tidak adil lalu menimbulkan kekeliruan.

Manakala di Hijaz, pihak Wahhabi-Saudi memaksa penduduk Makkah dan Madinah menerima pendapat mereka supaya dilaksanakan di kedua-dua tempat tersebut, sedangkan pendapat mereka telah dikalahkan secara perdebatan. Kedua-dua isu ini wajar dinilai menurut al-Qur’an, al-Hadith, Ijmak, dan Qiyas seperti yang dikemukakan oleh al-Imam al-Shafii dalam al-Risalahnya.

Orang ramai sering menyebut bahawa al-Qur’an dan al-Hadith mesti dirujuk, tetapi kita harus sedar bahawa kedua-duanya tidak akan wujud tanpa wujudnya manusia yang berakal. Manusia berakal inilah yang menentukan ijmak itu perlu bagi menetapkan kriteria yang dapat diterima umum.

Tanpa ijma', sesiapapun boleh mentafsir Islam sesuka hati seperti isu Amina Wadud. Begitu juga ‘Qiyas’ boleh dijadikan hujah sebagai sumber hukum Islam seperti lafaz niat solat diqiyaskan dari lafaz niat ibadah haji.

Kebenaran mesti ditinjau dari sudut keilmuan bukan dari sudut pentas politik atau apa yang bersifat sementara. Hal ini bermakna sesiapa yang mengatakan bahawa berlafaz niat sebagai bid’ah maka dia sendiri tidak memahami apa itu mazhab Syafii yang telah menjadikan qiyas sebagai sumber hukumnya. Maka jelas pengkritik tersebut bukanlah golongan salafi seperti yang didakwakan.

Oleh hal yang demikian kajian ilmu-ilmu Islam wajarlah dilakukan secara bersepadu. Ilmu yang dibina secara berkotak-kotak tidak wajar diteruskan kerana Islam itu menyeluruh sifatnya. Apabila didengari seruan supaya kembali kepada al-Qur’an dan al-Hadith haruslah diambil sikap berhati-hati. Adakah mereka betul-betul ikut kedua-duanya? Dan adakah pegangan kedua-duanya turut melibatkan ijmak dan qiyas?

Selain itu, untuk meyakini sesuatu itu wahyu atau tidak kita perlu melihat manusia yang menjadi perawi kepada wahyu tersebut. Jadi, wahyu itu mesti dipandu oleh mereka yang diakui autoriti ijma’ supaya tidak diselewengkan makna secara bebas dan tidak bersepadu. Inilah asas pencerahan tamadun Islam yang wajar dipegangi oleh umatnya.

¶ Teruskan membaca »
20 Jun 2009

Ingin Merangsang Minda Tajdid Anda?

Oleh Alexanderwathern.


Banyak manusia berfikir untuk mengubah dunia, tetapi tidak berfikir untuk mengubah dirinya.

Berikut adalah ungkapan-ungkapan bermakna daripada tokoh-tokoh dunia yang bersesuaian dengan dakwah Tajdid Segar. Ia mampu merangsang minda saya dan tidak mustahil mampu juga merangsang minda anda. Kita kongsikan di sini bukan dengan maksud ungkapan-ungkapan ini lebih hebat daripada ayat-ayat suci al-Quran dan as-Sunnah, cuma ia sebagai pengkayaan sahaja. Sebagaimana yang kita maklum, ungkapan-ungkapan biasanya bersifat agak umum kerana ia tidak dihuraikan.

Selamat menjana minda tajdid anda!
---

Orang lain tidak akan berubah, selagi kita tidak berubah.

Jika kita tidak merancang, maksudnya kita telah pun merancang untuk gagal.

Orang yang mempunyai idea baru dianggap sebagai gila, sehinggalah idea itu berjaya.
(Mark Twain)

Sesuatu idea yang masanya telah tiba, jauh lebih berkuasa daripada jejak perkasa sebuah bala tentera.
(Victor Hugo)

Idea-idea yang bernas semuanya diusahakan dengan penat-jerih individu dan bukannya dihamburkan oleh kumpulan.
(Charles Brower)

Carilah bekalan untuk hidup di dunia, sepadan dengan umat kita.
Carilah kenalan untuk hidup di akhirat, sepadan dengan kekalnya kita di sana.
(Ustaz Ashaari Muhammad)

Banyak manusia berfikir untuk mengubah dunia, tetapi tidak berfikir untuk mengubah dirinya.

Kreativiti wujud di mana-mana sahaja. Anda tidak boleh lari daripadanya. Apa yang penting ialah mengusahakan sesuatu dan melakukan perubahan.
(Walt Disney)

Perjalanan seribu batu, bermula dengan langkah pertama.

Imaginasi lebih penting daripada pengetahuan.
(Albert Einstein)

Imaginasi adalah permulaan kepada penciptaan.
(George Bernard Shaw)

Lebih mudah mengubahsuai idea yang gila daripada mencari idea yang baru.
(Alex Osborne)

Microsoft ialah sebuah syarikat yang menguruskan imaginasi.
(Bill Gates)

Apa yang terbukti hari ini, suatu ketika dahulu hanyalah imaginasi.
(William Blake)

Nilai sesebuah idea biasanya standing dengan tentangan yang diterima.
(Robert Townsend)

Pendedahan kepada pengalaman yang luas dan situasi yang berbeza bagus untuk penghasilan idea-idea baru.
(Hean Tatt-Ong)

Pemahaman seketika kadangkala bernilai satu pengalaman seumur hidup.
(Oliver Wendell Holmes)

Wawasan tanpa tindakan hanyalah impian. Tindakan tanpa wawasan hanya membuang masa. Wawasan diiringi tindakan dapat merubah dunia.
(Joel Arthur Barker)

Cara terbaik untuk mendapatkan idea yang bagus adalah dengan mencari banyak idea.
(Linus Pauling)

Jika kita tidak berubah secepat aliran zaman, kita akan kehilangan banyak peluang. Perubahan bermaksud meninggalkan peraturan-peraturan lama yang sudah selesai menjalankan tugasnya.
(Lee Kuan Yew)

Kita cenderung berfikir bahawa idea kita adalah hasil daripada kebijaksanaan diri sendiri tetapi pada hakikatnya ia adalah hasil pengalaman melalui pergaulan kita di luar.
(Konosuke Matsushita)

Sesekali tinggalkan jalan yang biasa engkau lalui dan masuk ke dalam hutan. Engkau pasti akan menemui sesuatu yang engkau belum pernah lihat sebelum ini.
(Alexander Graham Bell)

Ibu bapa kena sedar bahawa adalah lebih baik membesarkan kanak-kanak menjadi pembaharu dan pemikir yang ghairah daripaad pengikut patuh yang sugul.
(Chong Sheau Ching)

Apa yang aku ajar kamu adalah sebanyak daun-daun kering digenggamanku.
Apa yang belum ku ajar adalah sebanyak daun-daun kering di seluruh hutan ini.
(Gautama Buddha - dengan sedikit gubahan)

Tanpa kreativiti, kemajuan tidak akan wujud dan kita mungkin mengulangi corak yang sama selamanya.
(Edward de Bono)

Seseorang yang sentiasa kreatif adalah seorang yang mendapat kekuatan.
(Marsh Fisher)

Kita semua kreatif, bezanya hanya di tahap mana kita kembangkan potensi kreativiti sendiri.
(Arthur B Van Gundy)

Faktor paling berkuasa di dunia adalah idea-idea yang jelas dalam minda manusia yang bertenaga dan budiman.
(J. Arthur Thompson)

Banyak orang mempunyai minda yang asli tetapi mereka tidak menyedarinya. Mereka terkongkong oleh kebiasaan.
(John Keats)

Berfikir merupakan kerja yang paling sukar, dan ini mungkin menjadi sebab mengapa tidak banyak orang melakukannya.
(Henry Ford)

Sekiranya saya mampu berpandnagan jauh, hal ini kerana saya berdiri di atas bahu gergasi.
(Isaac Newton)

Orang yang kreatif memilih keadaan kacau-bilau daripada keadaan yang mudah.
(Donald W. MacKinnon)


*Saya tentulah tidak layak untuk disenaraikan bersama orang-orang ini, namun ada juga beberapa ungkapan yang saya cipta yang ingin saya kongsikan bersama. Jadi ungkapan-ungkapan dhaif ini saya sisipkan di bawah sahaja.

Perkara-perkara yang sudah ada keputusan, janganlah dibincangkan lagi kecualilah engkau mempunyai terlalu banyak masa lapang.
(Alexanderwathern)

Beruang kutub yang tidak mahu merayau keluar dari daerah kutub, tidak akan tahu kewujudan beruang yang bukan beruang kutub.
(Alexanderwathern)

Rumahmu banyak tingkap. Lihatlah ke luar dari semua tingkap.
(Alexanderwathern)
*Insyaallah akan ada artikel berkaitan

Segala angan-anganmu tidak akan berjaya, jika engkau tidak bertungkus-lumus mencapainya.
(Alexanderwathern)

Pengetahuan dan pengalaman yang berbeza, menghasilkan refleksi yang berbeza.
(Alexanderwathern)

Jika tidak mahu mentajdid diri, usah bicara soal perjuangan.
(Alexanderwathern)
* Insyaallah akan ada artikel berkaitan.

Segala madah yang engkau tulis, hanya akan ada nilai jika engkau selalu membaca, menghayati dan melaksanakannya.
(Alexanderwathern)

¶ Teruskan membaca »
30 Januari 2009

Bersatu Syarat Islam Gemilang

Wawancara di ruangan Bicara Agama Utusan Malaysia

Mukadimah

Dari Sauban ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar mengerumuni makanan. Mereka bertanya: Apakah kita sedikit pada masa itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Malah kamu ramai, tetapi kamu laksana buih air bah. Dalam pada itu hati mereka tidak ada rasa segan terhadap kamu dan dalam hati kamu sendiri tumbuh penyakit wahan. Apa yang dimaksudkan dengan penyakit wahan itu wahai Rasulullah? Maksudnya ialah di dalam hati kamu bertakhta perasaan cinta dunia dan takut mati”. (Riwayat Abu Daud).

Demikianlah gambaran yang berlaku pada umat Islam hari ini. Bilangan Muslim di seluruh dunia yang melebihi 1 bilion ternyata tidak menggentarkan musuh waima Israel yang kecil itu.

Contoh terbaru adalah kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza. Walaupun, rejim zionis itu dikelilingi oleh negara-negara Islam Arab, rakyat Palestin terus dizalimi tanpa pembelaan.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SAHARUDIN ABDULLAH menemu bual Pensyarah Institut Kefahaman dan Pemikiran Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Prof. Madya Dr. Nik Mohd. Rosdi Nik Ahmad bagi mengupas isu ini.


Apakah hikmah Nabi Muhammad SAW diutus di kalangan umat Arab?

NIK ROSDI: Rasulullah adalah keturunan Nabi Ibrahim iaitu antara nabi yang bukan dalam kalangan Bani Israel. Memanglah kebanyakan nabi yang diutuskan Allah adalah dari kalangan Bani Israel.

Semasa baginda diutuskan ke muka bumi, masyarakat Arab dari segi tamadunnya adalah lebih menonjol berbanding Bani Israel. Akhirnya, mereka seolah-olah dikongkong oleh bangsa lain. Bani Israel juga hidup nomad.

Mereka juga adalah digelar bangsa kibti Firaun yang dianggap hamba atau buruh kasar. Sebab itu Firaun mengejar Nabi Musa dan Bani Israel yang keluar dari Mesir ke Laut Merah yang akhirnya menyaksikan kematian Firaun ditelan air laut.

Sebab utamanya, kerana Firaun bimbang kerja-kerja membangunkan Mesir akan terbantut jika Bani Israel tidak ada.

Pada masa yang sama, ada banyak masalah yang melanda bangsa Arab semasa zaman jahiliah. Mereka terkenal sebagai bangsa yang amat taksub kepada perkauman atau assabiah. Mereka juga suka bergaduh sesama sendiri. Pendek kata, apa yang berlaku pada Bani Israel seolah-olah ada pada bangsa Arab.

Dengan itulah, Allah mengutuskan baginda untuk menyelesaikan segala masalah. Perutusan Rasulullah SAW ke muka bumi ini seperti kita semua sedia maklum adalah sebagai rahmat ke atas sekelian alam. Ini dijelaskan menerusi firman Allah, Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya’: 107)


Bangsa Arab ini selain mempunyai kiblat dan kitab yang satu juga berbahasa yang sama. Yang peliknya, mereka tidak juga boleh bersatu menentang zionis. Di mana silapnya?

NIK ROSDI: Orang Arab ini dulunya memang suka bergaduh. Sehinggakan nabi pun dibunuh. Contohnya, Nabi Zakaria yang disembelih oleh mereka.

Nabi Muhammad SAW telah diingatkan tentang hal itu semasa baginda diutus oleh Allah. Sebab itu antara tindakan awal baginda selepas berhijrah adalah mempersaudarakan puak Muhajirin dan Ansar. Kemudian menghubungkan puak yang bertelagah di Madinah iaitu suku Bani Nadhir, Qainuqa’ dan Khuraizah.

Selepas itu, baginda membentuk Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah) sebagai undang-undang yang diterima pakai di kalangan penduduk di sana.

Membentuk perpaduan ini amat penting dalam sesebuah masyarakat dan negara. Ia adalah kunci kepada kekuatan sesebuah bangsa dan negara.

Ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (Islam), janganlah kamu berpecah belah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu...(ali-‘Imran: 103)

Sepatutnya orang Arab lebih memahami hal ini. Namun mereka nampaknya tidak membaca al-Quran dan tidak ambil manfaat daripada kitab suci itu. Ini juga menunjukkan kesan penjajahan Barat yang sangat mendalam kepada orang Arab.


Dalam kes di Palestin, difahamkan ada di kalangan anggota Fatah yang memberi maklumat lokasi pejuang Hamas kepada puak zionis. Apakah jenis orang Islam begini?

NIK ROSDI: Dalam Islam ada golongan yang munafik. Mereka ini tidak senang hati dengan Islam. Sentiasa mencari jalan memusnahkan orang Islam.

Di Palestin, Hamas adalah lebih dekat dengan Islam manakala Fatah pula bersekongkol dengan Amerika Syarikat (AS). Jadi musuh menggunakan Fatah untuk menjatuhkan Palestin.

Pertelingkahan Fatah dan Hamas adalah punca krisis di Palestin. Barangkali mereka lupa kepada firman Allah yang bermaksud: Dan taatlah kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (al-Anfaal: 46)

Inilah yang berlaku di kebanyakan negara kuasa besar. Mereka gunakan golongan munafik untuk menjatuhkan Islam. Contohnya, di Afghanistan. Apabila menghadapi serangan Rusia, puak Islam yang bertelagah bersatu tetapi apabila Rusia balik mereka bergaduh semula.

Kemudiannya, muncul kumpulan Taliban yang menghadapi saingan daripada Pakatan Utara. Akhirnya, AS gunakan Pakatan Utara untuk menjatuhkan Afghanistan.

Islam menetapkan ketaatan kepada Allah dan rasul itu sebagai mutlak. Walhal ketaatan kepad a pemimpin itu selagi mana mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya.


Janji Israel memang tidak boleh dipercayai. Justeru apakah persiapan yang perlu ada di kalangan negara Islam bagi menghadapi puak zionis ini?

NIK ROSDI: Sifat orang Yahudi ini telah dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”...(al-Baqarah: 120)

Apa yang malangnya, itulah tabiat umat Islam. Mereka suka menjadikan Yahudi dan Nasrani sebagai kawan sebaliknya Muslim itu sebagai lawan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kamu pasti akan mengikut jejak langkah orang-orang yang sebelum kamu – sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan jika mereka memasuki ke dalam lubang dhab (sejenis biawak di padang pasir), pasti kamu akan mengikut mereka. Kami (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani (yang engkau maksudkan)? Jawab baginda SAW: Maka siapakah lagi (kalau bukan mereka)? (riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk itu, kita tidak ada jalan lain selain kembali bersatu mengukuhkan perpaduan. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu memainkan peranan penting dalam dalam hal ini.

Kita perlu mencontohi tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas hijrah baginda ke Madinah.

Seterusnya, golongan ulama dan umarak (pemerintah) perlu digabung jalinkan. Sebabnya kedua-dua pihak mempunyai pengaruh dalam masyarakat.

Membiarkan perpecahan antara kedua-duanya adalah antara faktor kejatuhan tamadun Yunani Greek. Ia berlaku apabila pemerintah memberi keutamaan kepada golongan Solon dan mengabaikan golongan Socrates (ahli falsafah). Akhirnya puak Socrates bangun memberontak dan membawa kepada tamatnya era kegemilangan tamadun Yunani.

Amir Syakib Arsalan dalam bukunya Mengapa Bukan Islam alami kemajuan dan kenapa Umat Islam alami kemunduran antara lain menjelaskan umat Islam tidak pandai membangunkan potensi yang ada seperti minyak untuk kemajuan umat.

Yang kedua, umat Islam cintakan permusuhan. Apabila hadapi musuh (bukan Islam) mereka bersatu tetapi selepas itu mereka kembali bertelagah.

¶ Teruskan membaca »

Catatan Lama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.